Sunday, 2 September 2012

Analisis Artikel : Empat pelajar dakwa dipukul


NAMA: LIM CHING WEN
OPSYEN: 8 PISMP- PC/PJ/MU

                                         Artikel


Empat Pelajar dakwa dipukul
Empat pelajar dakwa dipukul
WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Mei 2012

Mahadewi (kanan) menunjukkan kepala anaknya yang bengkak didakwa dipukul guru lelaki itu.
BUKIT SENTOSA - Empat pelajar perempuan tingkatan 1 sebuah sekolah menengah di sini mendakwa dipukul seorang guru sehingga tiga daripadanya terpaksa mendapatkan rawatan di klinik berdekatan kerana pengsan sebelum dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB).

Insiden itu berlaku kira-kira jam 5.30 petang kelmarin setelah guru lelaki didakwa marah tindakan pelajar yang bising dan keluar kelas tanpa kebenaran.

Bagaimanapun, ibu seorang murid terbabit, MK Mahadewi, 40, berkata, ia berbeza dengan kenyataan anaknya, S Shanmugi, 13, bersama tiga rakannya yang mendakwa mereka diberi kebenaran keluar sebelum guru terbabit memukul mereka ketika diarah masuk semula ke dalam kelas.

“Anak saya kata dia dan rakannya telah meminta kebenaran keluar namun setelah itu mereka diarahkan masuk sebelum dipukul di kepala menggunakan fail dan kotak pensil sehingga bengkak manakala seorang lagi disepak.

“Anak saya bersama dua rakannya mengalami bengkak di kepala sehingga menyebabkan mereka pengsan ketika menuju ke pejabat pengetua,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mahadewi berkata, guru yang melihat kejadian itu segera membawa mereka ke klinik berdekatan.

Tetapi menurutnya pihak klinik tidak mahu menerima pelajar terbabit kerana kecederaan dialami berkait kes pukul dan mereka dibawa semula ke sekolah.

Mahadewi juga kecewa kerana mendakwa pihak sekolah tidak memaklumkan perkara itu kerana dia hanya mendapat tahu setelah datang sendiri ke sekolah.

“Saya mulanya risau sebab sudah jam 7.45 petang anak saya masih tak pulang sedangkan rumah saya dekat saja dari sekolah, jadi saya terus ke sekolah sebelum mendapat tahu kejadian itu.

“Kesal dengan insiden itu saya mengambil keputusan membuat laporan polis sebelum membawa anak ke HKKB.

“Doktor mengarahkan anak saya ditempatkan di hospital dalam tempoh 24 jam kerana bimbang kesan sampingan akibat bengkak di kepala,” katanya.

Mahadewi juga kesal kerana guru yang didakwa memukul anaknya sepatutnya lebih bersikap sabar dan tidak bertindak demikian terhadap pelajar.

Sementara itu, difahamkan pelajar sekolah terbabit meminta kebenaran keluar kelas untuk menemui seorang pelajar di kelas lain kerana didakwa telah menconteng buku rakan mereka.

Tujuan empat pelajar terbabit dipercayai kerana mahu memberi teguran kepada pelajar itu namun guru tersebut menghalang tindakan pelajar berkenaan.

Dalam pada itu, Sinar Harian cuba mendapatkan maklumbalas daripada pihak sekolah namun gagal dihubungi. 



                                 Analisis Artikel

Menurut artikel “Empat Pelajar dakwa dipukul” yang disiarkan di Sinar Harian, empat pelajar perempuan tingkatan 1 sebuah sekolah menengah  mendakwa dipukul seorang guru sehingga tiga daripadanya terpaksa mendapatkan rawatan di klinik berdekatan kerana pengsan sebelum dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB). Menurut artikel tersebut, kejadian itu berlaku disebabkan guru lelaki tersebut marah akan tindakan pelajar yang bising dan keluar kelas tanpa kebenaran. Difahamkan pelajar sekolah terbabit meminta kebenaran keluar kelas untuk menemui seorang pelajar di kelas lain kerana didakwa telah menconteng buku rakan mereka. Tujuan empat pelajar terbabit dipercayai kerana mahu memberi teguran kepada pelajar itu namun guru tersebut menghalang tindakan pelajar berkenaan. Empat pelajar tersebut diarahkan masuk sebelum dipukul di kepala menggunakan fail dan kotak pensil sehingga bengkak manakala seorang lagi disepak. Doktor mengarahkan mangsa ditempatkan di hospital dalam tempoh 24 jam kerana bimbang kesan sampingan akibat bengkak di kepala.

Goleman (1995) menyatakan bahawa seseorang yang tidak mempunyai keupayaan mengawal emosi apabila berinteraksi dengan orang lain kurang bermotivasi untuk  menjalankan kerja dengan baik. Mereka juga tidak boleh digolongkan sebagai individu yang berjaya dalam kerjaya masing-masing. Peristiwa-peristiwa cetusan emosi yang digambarkan, terutama yang berlaku di tempat kerja, membawa implikasi terhadap tahap kestabilan dan kematangan emosi yang dimiliki oleh individu-individu yang terlibat. Goleman (1995) telah mengemukakan satu teori untuk menerangkan faktor-faktor yang mempengaruhi emosi seseorang. Teori tersebut dikenali sebagai Teori Kecerdasan Emosi. Teori ini menerangkan faktor kegagalan dan kejayaan seseorang dalam kehidupan peribadi dan kerjaya masing-masing.

Merujuk kepada kes dalam artikel tersebut, masalah disiplin pelajar sememangnya boleh menggugat emosi guru. Jika tidak ditangani dengan baik, mudah saja guru cenderung untuk bertindak di luar emosinya seperti menampar pelajarnya. Perguruan adalah profesion membantu yang amat terdedah dengan tekanan. Tekanan terhadap guru memang berkecenderungan untuk menyebabkan guru berada dalam keadaan murung, mengalami tekanan jiwa, kekecewaan dan kebimbangan. Guru yang gagal mengawal diri akibat tekanan akan memberi kesan kepada perhubungan guru dengan pelajar dan juga mutu pengajaran dan pembelajaran. Perkara ini seterusnya boleh menjejaskan kualiti pendidikan dan juga profesion perguruan yang seterusnya akan membantutkan usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang mampu membawa Malaysia ke tahap kecemerlangan dan kegemilangan mutu pendidikannya.

Tekanan mempunyai hubung kait dengan sokongan sosial dan juga bantuan yang diterima. Sokongan sosial yang kuat boleh mengurangkan tahap tekanan. Kewujudan sistem sokongan yang kuat membolehkan guru-guru untuk berkongsi permasalahan antara satu sama lain di mana ia boleh menyumbang kepada cadangan yang membantu. (Woods & Weasmer, 2004).

Tekanan guru boleh ditakrifkan sebagai perasaan tidak selesa, emosi negatif seperti marah, kebimbangan, tekanan serta kekecewaan yang berpunca dari aspek kerja mereka sebagai seorang guru. Dalam hal ini, guru dalam kes ini  adalah guru yang tidak dapat mengawal emosi mereka terhadap perubahan budaya pendidikan yang bukan sahaja untuk memberi ilmu pengetahuan tetapi perlu mendidik manusia agar menjadi masyarakat yang berguna. Justeru itu, tekanan kerja pada tahap yang tinggi biasanya akan membawa kepada ketidakpuasan kepada kerja, sikap suka mengelak dan pengabaian kerja. Tindakbalas penyesuaian tekanan oleh guru merangkumi tindak balas psikologikal (keletihan dan kemurungan) , fisiologikal (sakit kepala, tekanan darah tinggi)  dan berkaitan sikap (pengambilan alkohol, merokok, gaya hidup dan masalah tidur). Selain itu juga, tekanan yang berpanjangan boleh melemahkan mental dan fizikal seseorang guru serta boleh membawa risiko ke atas kesihatan jika tidak menerima rawatan dengan sebaiknnya. Ternyata, tekanan kerja sememangnya akan mengganggu gaya hidup dan kesejahteraan hidup seseorang insan bergelar guru. Ini seterusnya akan mengganggu prestasi kerja dan outputnya dalam bidang pendidikan yang diceburinya.

Individu akan berupaya untuk berdaya tindak ke atas tekanan secara lebih efektif jika beliau mempunyai perhubungan sosial yang lebih berkesan. Kajian dalam bidang tekanan menunjukkan sokongan sosial sangat efektif dalam meningkatkan kesejahteraan kesihatan mental individu. Mempunyai kaedah berdaya tindak dan mempunyai sokongan sosial adalah amat penting dan ini selari dengan hasrat Kementerian Pelajaran sekarang iaitu mendidik guru-guru baru agar dapat mengawal emosi mereka supaya kejadian memukul pelajar dapat dielakkan. Berbalik dengan isu pelajar mendawa dipukul guru, tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap individu terlibat.

Kursus pengawalan emosi dan tekanan juga dapat membantu guru dalam menjalankan tugas mereka. Kadang kala, tekanan atau stress menyebabkan guru keterlaluan dalam tindakan mendisiplinkan pelajar. Adakalanya tekanan menyebabkan mereka tidak dapat mengawal emosi dan hilang sabar dalam menghadapi kerenah pelajar-pelajar yang nakal. Dr. Robiah K. Hamzah, seorang pakar motivasi sendiri mengakui bahawa jalan terbaik menangani masalah disiplin ialah guru pandai mengawal emosi. Namun , pada masa yang sama, guru juga perlu menunjukkan ketegasan dalam kelembutan (Harian Metro, Isnin 6 Ogos 2007).


            Jesteru, guru harus diberi pendedahan dan ilmu pengawalan emosi dan tekanan supaya mereka lebih bersedia andai terpaksa berdepan dengan perlakuan melampau batas pelajar-pelajar. Kursus pengawalan emosi dan tekanan mampu membuka minda para guru. Sudah pastinya emosi yang stabil dan fikiran yang tenang membolehkan guru mendidik dan mendisiplin pelajar dengan cara lebih berkesan. Kursus jangka pendek tentang kaedah dan cara mendisiplinkan pelajar oleh guru-guru yang berpengalaman terutamanya guru-guru disiplin wajar juga diadakan. Biarpun para guru (terutama guru baru) telah didedahkan dengan teori-teori psikologi kanak-kanak dan remaja sewaktu menjalani latihan perguruan namun situasi yang berlaku di sekolah ada kalanya di luar jangkaan. Diharapkan agar ilmu mendisiplinkan pelajar dan menangani pelajar bermasalah hasil daripada pengalaman-pengalaman guru-guru lama dapat dikongsi bersama-sama terutamanya dengan guru-guru baru.

Merujuk kepada artikel ini, saya berpendapat bahawa tekanan yang dihadapi oleh guru tersebut mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor. Antara faktor yang paling ketara ialah ketidakupayaan guru untuk berdaya tindak ke atas isu-isu pendidikan yang berlaku dalam dunia yang pesat berubah. Ini kerana gelombang pembangunan pesat yang berlaku di negara ini dan juga seluruh dunia menyaksikan cabaran dan tekanan yang dihadapi oleh guru semakin meningkat. Banyak kajian menunjukkan isu-isu pendidikan seperti masalah disiplin pelajar yang berleluasa, bebanan tugasan, masalah kekurangan guru, kekurangan bilik darjah, konflik peranan, kekaburan peranan, ketiadaan sistem sokongan sosial yang kuat dan rangkaian masalah yang lain yang tidak dapat diselesaikan dengan memuaskan boleh menggugat kesejahteraan guru. Sekiranya isu-isu tersebut tidak diatasi segera ia boleh menyebabkan guru menghadapai gangguan emosi dan tidak dapat mengawal emosinya.

Warga pendidik memang perlu bijak menangani isu pendidikan agar dapat mengawal emosi. Oleh itu, satu aspek penting yang perlu diberi perhatian yang berkaitan tekanan ialah aspek strategi berdaya tindak dan bagaimana mengawal emosi. Mengawal emosi dan berdaya tindak terhadap tekanan kerja di kalangan guru kini menjadi semakin penting kerana kegagalan guru untuk berdaya tindak boleh memberi kesan negatif kepada kesejahteraan fizikal, mental dan emosi guru.

Kesan jangka pendek dari tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru dalam kes ini menyebabkan profesion perguruan ini dipandang rendah oleh masyarakat. Masyarakat tidak lagi mempercayai kepada profesion perguruan sehingga menyebabkan profesion ini tidak lagi diperlukan oleh masyarakat. Selain itu, profesion perguruan tidak lagi dianggap mulia oleh masyarakat dimana mereka tidak lagi mempercayai bahawa profesion ini dapat membantu anak mereka untuk mendapatkan pendidikan yang selamat dan berkesan. Tambahan pula, profesion ini tidak lagi dihormati oleh masyarakat terutama ibu bapa dan murid-murid.

Manakala kesan jangka panjang kepada profesion perguruan menyebabkan generasi muda tidak lagi berminat untuk menjadi guru dan ini mengakibatkan profesion ini kekurangan genarasi muda yang berbakat untuk mendidik anak bangsa. Di samping itu juga, kesan dari ini kerajaan tidak lagi dapat melahirkan guru-guru yang berkemahiran dalam pelbagai aspek kerana kekurangan generasi muda yang ingin menceburi bidang ini. Mengikut Lilia dan Norlena (1998), penyusutan kuasa untuk menjalankan tugas secara professional menyebabkan profesion perguruan menurun di kaca mata masyarakat.

Kesan jangka pendek yang menimpa sekolah ialah reputasi sekolah  atau nama baik sekolah akan menurun menyebabkan masyarakat terutama ibu bapa tidak lagi menghantar anak mereka ke sekolah tersebut. Selain itu, sekolah tidak lagi dianggap sebagai institusi pendidikan yang memberi pendidikan yang berkualiti kepada murid-murid.  

Kesan pendek dari kes ini menyebabkan hubungan ibubapa dan guru menjadi rengang dimana ibubapa tidak lagi mempercayai kredibilitui guru untuk mendidik anak mereka menjadi insan yang berguna.  Di samping itu juga, masyarakat akan memandang serong kepada semua pihak termasuklah guru dan pentadbir sekolah. Tambahan lagi, kesannya ialah ibubapa tidak puas hati dengan layanan guru terhadap anaknya.  Manakala kesan jangka panjang yang menimpa ibubapa dan masyarakat ialah mereka menyalahkan guru sehingga guru tersebut dibenci dan dicaci oleh masyarakat yang lain. Selain itu, ibubapa membawa isu  ini kepada pihak atasan seperti polis dan peguam bagi mendapat keadilan bagi pihak anak mereka.

Golongan guru merupakan anggota sekolah yang terlibat secara langsung dalam perlaksanaan kurikulum dan program pendidikan di sekolah. Peranan yang dimainkan oleh seorang guru dalam sesebuah sekolah amat penting terutama dari segi pencapaian aspirasi dan matlamat sekolah. Menurut Mok Soon Sang (1988), antara peranan guru yang penting ialah sebagai pengarah pembelajaran dengan membimbing pelajar supaya mereka berusaha belajar secara individu atau berkumpulan dan bertindak sebagai ibu bapa kepada pelajar, demi menjaga keselamatan dan kebajikan pelajar. Peranan ini akan membantu pelajar menyesuaikan diri dan menganggap sekolah sebagai sebahagian keluarga mereka. Selain itu, guru juga sebagai pendisiplin yang bertanggungjawab menjaga disiplin pelajar serta membantu mereka membentuk sahsiah dan kelakuan yang sejajar dengan nilai dan norma masyarakat. Guru juga sebagai contoh model hidup di mana tingkah laku guru menjadi contoh teladan kepada pelajar. Dengan ini, nilai-nilai murni yang ditonjolkan oleh guru di sekolah dapat diterapkan dalam jiwa pelajar. Sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab, guru hari ini harus menyedari tugas dan amanah yang diserahkan kepadanya untuk mendidik generasi yang akan menjadi dewasa kelak.

Merujuk kepada artikel tersebut, saya berpendapat bahawa biasanya bukan sengaja guru ingin menimbulkan masalah, sudah tentu punca datang daripada kenakalan atau kedegilan kanak-kanak itu sendiri. Bukan semua murid itu baik dan patuh pada peraturan sekolah. Itulah naluri kanak-kanak yang perlu kita fahami. Walaupun kita sememangnya tidak boleh memaafkan guru yang sudah dewasa dan berfikiran matang terlibat dalam insiden itu, tetapi dalam sesetengah kes mereka mungkin hilang pertimbangan. Segelintir guru yang berhadapan dengan masalah disiplin mahupun masalah pencapaian akademik murid yang lemah, membuat penilaian bahawa murid perlu dihukum sebagai peringatan, pengajaran dan kesedaran kepada mereka. Mungkin guru tersebut termasuk dalam golongan yang yakin bahawa hukuman fizikal seperti merotan dan mendera akan memberi manfaat. Tetapi akibat daripada tindakan fizikal itu, kecederaan hingga luka dan lebam seperti dalam kes murid dipukul guru di kepala dengan menggunakan fail dan kotak pensil sehingga bengkak manakala seorang lagi disepak sudah tentu merisaukan ibu bapa. Mungkin guru berkenaan tidak berniat berbuat demikian hingga pelajar perlu mendapatkan rawatan perubatan, tetapi jika emosi turut memainkan peranan dalam menjalankan hukuman, biasanya kesan negatif yang berlebihan sebegitu akan terjadi.

Berikut adalah cadangan-cadangan yang dikemukakan untuk pengurusan tekanan guru. Cadangan-cadangan yang dikemukakan ini difikirkan sesuai untuk mengurangkan tekanan kerja warga pendidik secara amnya. Peranan pihak pentadbir untuk menganjurkan program berkaitan pengurusan tekanan, sama ada dalam bentuk bengkel, kursus ataupun seminar perlu memasukkan strategi berlandaskan agama dalam kandungan atau agenda program. Seterusnya, mewujudkan suasana yang sihat dan harmoni iaitu perhubungan yang baik antara staf, keputusan yang diambil perlulah berlandaskan perbincangan, polisi sekolah yang lengkap dan teratur, guru-guru menerima tindak balas yang positif dan dihargai, pengurangan tugas-tugas pentadbiran sebarang tuga tambahan adalah berdasarkan kepada kemahiran guru tersebut, membina persekitaran kerja yang ceria dan kerjasama yang baik untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi.
           
Melalui pendekatan organisasi pula, pentadbir tentu boleh menentukan pemilihandan penempatan guru-guru. Perpindahan dan pertukaran guru-guru disokong sepenuhnya supaya guru-guru yang ingin bertukar tidak tertekan. Pengetua juga mestilah ubahsuai tugas guru dan memberikan taklimat kerja yang mendalam terutama sekali sasaran matlamat. Sebarang keputusan dan perancangan sekolah mestilah dilibatkan guru-guru. Proses menerima dan menapis pendapat dan pandangan gurumungkin terlalu lambat, tetapi ia lebih mudah untuk diterima. Sehubungan itu juga, pentadbir perlu mengubah gaya pentadbiran bersifat autokratik kepada gaya pentadbiran yang lebih mengutamakan  pendekatan humanistik ataudemokratik.

            Di samping itu, guru juga perlu melibatkan diri dalam aktiviti riadah, senaman yang berterusan dan melakukan latihan jasmani supaya dapat membantu melupakan tekanan yang dihadapi. Badan yang segar akan mempunyai otak yang cerdas. Seterusnya, amalan pemakanan perlu diberi panduan dan perhatian supaya bukan hanya murid-murid sahaja yang dijaga aspek jasmani, emosi, rohani dan inteleknya tetapi guru juga sepatutnya diberi pendedahan terhadap penjagaan aspek tersebut.

            Profesion guru adalah salah satu daripada tugas yang sukar dan perlu kepada usaha pengorbanan yang tinggi. Perkara ini perlu diberi perhatian sekurang-kurangnya melalui tindakan atau pelaksanaan penyelesaian secara berperingkat. Guru juga haruslah sentiasa bersifat positif dalam menghadapi cabaran-cabaran dalam dunia pendidikan hari ini bagi mengelakkan mereka terus berada dalam keadaan tertekan dan menjejaskan karier mereka sebagai seorang guru. Dalam pada itu, setiap pihak juga harus memberi sokongan dan membantu mengurangkan beban tekanan yang dihadapi oleh guru ini. Pengurusan tekanan memerlukan kemahiran yang mesti dipelajari oleh semua anggota di dalam organisasi pendidikan. Kegagalan mengawal tekanan boleh mendatang kesan yang buruk bukan sahaja kepada individu terbabit tetapi juga imej organisasi. Oleh itu, dapatlah dikenalpasti punca dan tahap tekanan guru-guru prasekolah, seterusnya akan mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengatasi masalah yang timbul. Ini akan merugikan negara kita yang sedang menuju kepada sebuah negara industri. Menjasi tugas, peranan dan tanggungjawab guru untuk merealisasikan wawasan 2020.



No comments:

Post a Comment