Artikel
Murid pecah gegendang telinga ditampar guru
2010/05/26
KODIANG: Seorang murid Tahun Lima
sekolah rendah di sini, berkemungkinan pekak selepas telinga kirinya ditampar
seorang guru lelaki hingga menyebabkan gegendangnya pecah, Khamis lalu.
Selain pecah gegendang telinga, mangsa, Mohd Khairil Azry Zulkifli, 11, turut mengalami bengkak di dahi apabila kepalanya terhentak ke dinding selepas ditampar guru lelaki berusia 40-an dalam kejadian jam 12.45 tengah hari di Sekolah Kebangsaan Siputeh, Padang Sera, di sini. Kejadian itu bermula apabila seorang guru wanita mengarahkan murid kelas itu, termasuk Mohd Khairil berpindah dari tingkat dua ke tingkat bawah blok bangunan sekolah itu yang sedang digunakan murid Tahun Tiga bersama guru lelaki terbabit. Difahamkan tindakan Mohd Khairil memasuki kelas itu bersama tiga rakannya ketika guru lelaki itu masih berada dalam kelas berkenaan mengundang kemarahannya. Berikutan itu, guru terbabit memarahi Mohd Khairil serta tiga murid lain sebelum menampar keempat-empat mereka. Seorang daripada mereka turut cedera ditampar. Bapa mangsa, Zulkifli Romli, 45, berkata, beliau hanya mengetahui kejadian itu selepas isterinya, Che Waqi Baharom, 45, memberitahu ada kesan darah di telinga kiri anaknya yang mengadu sakit telinga. “Isteri memaklumkan selepas balik ke rumah pada jam 1.30 tengah hari, anak saya tidak seperti biasa dan terus tidur sebelum mengadu sakit telinga. Saya mendesak dia memberitahu perkara sebenar sebelum mengetahui dia ditampar gurunya. “Kami kemudian ke sebuah klinik di Arau, Perlis sebelum dirujuk ke Hospital Tunku Fauziah, Kangar pada jam 9 malam. “Anak saya dirujuk kepada pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) yang kemudiannya mengesahkan gegendang telinga kirinya pecah, malah pemeriksaan juga menunjukkan anak saya mengalami masalah pendengaran,” katanya ketika ditemui semalam. |
Analisis Artikel
Artikel di atas merupakan sebuah artikel yang berkait
dengan isu guru. Artikel yang telah saya pilih ini bertajuk “Murid Pecah
Gegendang Telinga Ditampar Guru”. Artikel ini memaparkan kejadian seorang guru
menampar murid sehingga gegendang telinga murid pecah. Isu ini berlaku pada 26
Mei 2010 di Kodiang. Seorang guru lelaki telah menampar telinga kiri seorang
murid Tahun Lima dan menyebabkan murid tersebut menghadapi masalah pendengaran.
Selain pecah gegendang telinga,
murid tersebut turut mengalami bengkak di dahi apabila kepalanya terhentak ke
dinding selepas ditampar. Kejadian itu bermula apabila seorang guru wanita
mengarahkan murid kelas itu, termasuk mangsa berpindah dari tingkat dua ke
tingkat bawah blok bangunan sekolah itu yang sedang digunakan murid Tahun Tiga
bersama guru lelaki terbabit. Tindakan mangsa memasuki kelas itu bersama tiga
rakannya telah mengundang kemarahan guru lelaki kerana guru lelaki itu masih
berada dalam kelas berkenaan. Guru terbabit telah memarahi mangsa serta tiga
murid lain sebelum menampar mereka. Salah seorang daripada mereka turut cedera
ditampar. Bapa mangsa hanya mengetahui kejadian itu selepas isterinya memberitahu
bahawa terdapat kesan darah di telinga kiri anaknya yang mengadu sakit telinga.
Selepas itu, Ibu mangsa telah mendesak dia memberitahu perkara sebenar. Mangsa
telah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan disahkan bahawa gegendang
telinga kirinya telah pecah.
Cabaran era komunikasi abad ke-21
terhadap sistem pendidikan negara begitu terasa. Ledakan teknologi maklumat dan
kemajuan teknologi global serta kewujudan arus perdana Koridor Raya Multimedia
(MSC) dalam sistem pentadbiran negara, menuntut konsep pendidikan mencorak ke
arah yang bercirikan teknologi secara saintifik.
Profesion perguruan juga merupakan
badan yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menghasilkan rakyat masa
depan yang serba canggih sebagai jentera penggerak negara. Tanggungjawab
profesion perguruan menjadi semakin berat kerana rakyat masa hadapan yang
hendak dihasilkan itu bukan sahaja perlu diterapkan dengan pelbagai ilmu
pengetahuan semata-mata, tetapi perlu juga diseimbangkan dengan nilai sosial
yang baik dari segi moral dan etika yang murni. Malangnya ketika kita
bersungguh-sungguh menyahut cabaran masa kini untuk merealisasikan aspirasi
negara, timbul pula pelbagai masalah dikalangan guru-guru.
Berita
guru memukul pelajar, mendera, mencabul dan merogol anak didik sendiri sering
berlaku dan menjadi topik media. Tidak kurang juga apabila ia menjadi bualan
hangat di kalangan masyarakat. Kejadian guru-guru memukul pelajar sering
dipilih untuk dijadikan tajuk utama bagi media massa.
Kesalahan
tingkah laku guru ini bukan sahaja berlaku di negara kita, malah turut berlaku
di negara lain juga. Misalnya seperti yang berlaku di Shanghai, menurut
laporan dari akhbar Xinming Evening News, seorang penolong guru besar sekolah
tinggi wilayah Hubei didapati bersalah kerana memasukkan racun tikus ke dalam
makanan sekolah. Beliau berbuat demikian untuk mendatangkan masalah kepada guru
besar sekolah berkenaan supaya dia berpeluang naik pangkat.
Berdasarkan
kes-kes tersebut, kita dapat melihat betapa banyaknya kes-kes yang melibatkan guru.
Bukan sahaja salah laku terhadap pelajar, guru juga telah dilaporkan bertindak
ganas terhadap polis dengan menggunakan gergaji. Saya berpendapat bahawa adalah tidak wajar bagi seorang guru
yang dianggap sebagai satu jawatan yang profesional bersikap sedemikian
terhadap pelajar dan masyarakat.
Setiap
perbuatan yang dilakukan mesti mempunyai punca-puncanya. Begitu juga dengan isu
“murid pecah gegendang telinga ditampar guru”. Bagi seorang insan yang
rasional, mereka tidak akan bertindak kasar dan ganas terhadap seorang insan
lagi-lagi mereka hanya merupakan murid sekolah rendah. Pada pendapat saya, guru
yang berbuat demikian iaitu menampar murid sehingga gegendang telinganya pecah
mesti mempunyai sebab-sebabnya yang tersendiri.
“Biasanya bukan sengaja guru
ingin menimbulkan masalah, sudah tentu punca datang daripada kenakalan atau
kedegilan kanak-kanak itu sendiri. Bukan semua murid itu baik dan patuh pada
peraturan sekolah. Itulah naluri kanak-kanak yang perlu kita fahami”. Begitulah
yang dikatakan oleh pakar psikologi kanak-kanak dan remaja, Dr. Mohd. Amin
Shariff. Berkenaan dengan isu di atas, saya berpendapat bahawa guru lelaki
tersebut akan menampar murid mungkin disebabkan mangsa dengan 3 orang rakannya
bersikap biadap dan tidak sopan terhadap guru lelaki yang sedang mengajar dalam
kelas. Kebiadapan pelajar-pelajar sekarang kadang-kadang
menghilangkan kesabaran seorang guru. Kemunculan murid-murid tersebut telah mempengaruhi pengajaran
guru. Akibatnya, perbuatan murid telah membangkitkan kemarahan guru dan
menyebabkan guru hilang kawalan lalu menampar mereka.
Selain itu, saya
berpendapat bahawa punca utama yang menyebabkan guru bertindak kasar terhadap
murid adalah disebabkan tekan jiwa. Murid-murid pada zaman sekarang amatlah
jauh berbeza dengan masa dahulu. Menurut
pakar pendidikan, Prof. Dr. Robiah Sidin, guru sekarang berdepan dengan
bilangan pelajar yang terlalu ramai ditambah dengan pelbagai karenah. Ini
berbeza dengan murid yang diajar oleh rakan sejawat mereka sedekad dua yang
lalu. Ketika itu murid lebih patuh kepada guru dan wajar dicontohi .
Guru bertindak keterlaluan mungkin kerana menghadapi tekanan jiwa akibat beban
kerja yang terlalu banyak, tanggungjawab semakin berat dan tuntutan masyarakat
yang menggunung terhadap guru.
Ahli sosiologi UKM, Dr. Sarifa
Zaleha Syed Hassan berpendapat bahawa punca guru bertindak kasar mungkin kerana
hilang kesabaran. Mungkin jika seorang murid yang nakal dapat dikawal tetapi
kalau terlalu ramai boleh menghilangkan kesabaran guru. Guru juga manusia
biasa, jika terlalu tertekan, sesekali kesabaran tidak boleh dikawal. Begitu
juga dengan isu guru di atas. Guru tersebut mungkin telah hilang kesabaran
disebabkan muridnya yang nakal dan tidak patuh kepada arahan. Akibat kesabaran
yang tidak terkawal, dia telah menampar murid sehingga gegendang telinga murid
pecah.
Di samping itu, saya berpandangan
bahawa salah satu punca yang menyebabkan guru bertindak kasar dan ganas
terhadap murid ialah guru itu sendiri tidak berminat kepada profesion
perguruan. Apabila tidak minat terhadap kerjayanya, seseorang guru itu tidak
akan dapat menyesuaikan diri dengan karenah murid. Sudah tentu mereka tidak
mempunyai sikap sabar. Dia akan mudah berasa marah. Guru juga adalah manusia
biasa yang mempunyai emosi, kadangkala perasaan marahnya akan sampai ke tahap
di mana dia akan lupa bahawa dia merupakan seorang guru dan berhadapan dengan
anak orang lain.
Sesetengah guru menghukum dengan
tujuan untuk mendidik kerana kenakalan murid berkenaan. Jangan salahkan guru
sahaja kerana ibu bapa juga terlibat kerana kurang menekankan pendidikan moral
kepada anak masing-masing. Terdapat juga murid yang berperangai baik di rumah
tetapi nakal di sekolah. Kini kebanyakan guru yang dikeluarkan dari maktab atau
universiti bukan bercita-cita untuk menjadi guru sebenarnya. Apabila bilangan
guru amat berkurangan, kita terima sahaja golongan yang sebenarnya tidak begitu
sesuai menjadi guru. Mereka yang dilatih di maktab dan universiti inilah ada
yang bersifat negatif dan orang begini tidak sesuai sebagai guru.
Sepatutnya sekolah memainkan peranan
yang penting di dalam memberi perlindungan kepada kanak-kanak daripada
keganasan. Namun begitu, bagi kebanyakan kanak-kanak, persekitaran di sekolah
sebenarnya mendedahkan mereka kepada keganasan. Berdasarkan isu yang
dibincangkan, murid-murid bukan sahaja tidak mendapat perlindungan malah mereka
telah ditampar oleh guru di dalam kawasan sekolah. Perbuatan sebegitu adalah
amat kejam terhadap seorang murid yang masih berada di sekolah rendah dan ia
akan membawa kesan-kesan negatif kepada mangsa tersebut.
Adalah dilarang sama sekali bagi
seorang guru bertindak ganas terhadap pelajar kerana ia boleh meninggalkan
kesan fizikal kepada pelajar yang dipukul. Guru seharusnya berhati-hati sebelum
sesuatu tindakan diambil. Hukuman yang dikenakan perlulah setimpal dengan jenis
kesalahan yang dilakukan oleh pelajar. Guru sewajarnya tidak menyalahgunakan
kelonggaran atau kuasa yang ada dan bertindak menampar pelajar dengan dorongan
perasaan geram atau marah. Ini bertujuan mengelakkan gejala penderaan terhadap
pelajar sekolah berlaku.
Kita
mungkin menganggap menampar adalah tindakan yang tidak serius dan bukanlah isu
besar, malah kita sendiri pun pernah ditampar pada satu ketika dulu. Bagaimanapun
perbuatan menampar itu boleh memberi kecederaan serius terutama ke atas
kanak-kanak. Dari sudut perubatan, kita mengetahui kanak-kanak mempunyai organ
yang masih berkembang dalam menjalani proses tumbesaran. Organ ini juga rapuh,
mudah cedera dan berpotensi menghadapi masalah kesan negatif jangka panjang.
Organ di bahagian muka seperti mata, telinga, mulut, lidah, saraf tunjang leher
dan juga otak ialah organ penting yang berpotensi tercedera jika bahagian muka
dan kepala dijadikan tempat membuat pukulan atau tamparan.
Dalam
kes yang disebut dalam artikel di atas, gegendang telinga kiri murid telah
pecah. Ini adalah disebabkan tamparan tepat pada cuping telinga dan menutup
lubang telinga, maka tekanan kuat akan disalurkan ke dalam rongga telinga dan
sampai ke gegendang dan ini akan menyebabkan gangguan pendengaran yang kekal jika
ia serius dan tidak dirawat dengan cepat. Di samping kesan fizikal yang dialami
oleh kanak-kanak atau pelajar yang ditampar, kesan psikologi ialah salah satu
akibat yang tidak kurang seriusnya. Menampar dikatakan satu kaedah yang boleh
menjatuhkan maruah seseorang lebih-lebih lagi jika ia dilakukan di hadapan
khalayak. Oleh itu, guru adalah diseru supaya mengelakkan diri daripada
menggunakan tamparan muka sebagai kaedah menghukum.
Pendedahan kes guru mendera murid
ada kebaikan untuk masyarakat menilai semula peranan masing-masing dalam
mencari penyelesaiannya. Gejala ini perlu dibendung segera dan semua pihak
terlibat. Tokoh pendidikan, Tan Sri Prof. Dr. Awang Had Salleh mencadangkan
agar Jabatan Pendidikan Negeri mengenalpasti guru-guru yang menghadapi masalah
psikologi dan mengatasinya dengan segera. Beliau juga mencadangkan supaya
bengkel-bengkel diadakan bukan sahaja untuk menaikkan imej dan kualiti guru,
tetapi membantu mereka menghadapi situasi kerja yang semakin rumit serta
mengendalikan perasaan tertekan.
Cara mengatasi guru ganas bukan
sekadar menukar ke tempat lain semata-mata. Guru-guru yang tidak berminat
mengajar, lebih baik diambil tindakan tegas dengan memberhentikan guru
tersebut. Isu guru adalah masalah negara
yang perlu diberi perhatian dengan menaikkan taraf profesion dan peruntukan
gaji yang munasabah. Inilah masalah kualiti guru kesan daripada pengambilan yang
bertujuan hanya untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru. Seandainya, guru
yang betul-betul layak perlu diperolehi dengan kadar segera. Pada pendapat
saya, untuk mengatasi masalah guru ganas, calon guru harus ditapis dari
peringkat awal melalui ujian psikologi. Ujian ini adalah berguna untuk menguji
kesesuaian seseorang sebagai guru.
Selain itu, guru perlu sedar bahawa
pelajar adalah manusia biasa yang memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar. Oleh
itu murid patutlah mendapat layanan yang beradab. Dengan cara inilah boleh
mendorong murid memberi penghormatan yang setimpal dengan layanan yang
diberikan oleh guru kepada mereka. Sikap guru yang bengis dan garang hanya
menakutkan murid untuk ke sekolah. Justeru itu, guru sewajarnya sentiasa
menghayati dan mengamalkan Tatasusila Profesion Penguruan. Guru perlu
mengelakkan diri daripada nafsu marah dan jauhkan daripada membuat kesimpulan
terburu-buru tanpa penyelidikan terlebih dahulu seperti yang digariskan dalam
buku “Panduan Tatacara Disiplin
Sekolah Untuk Guru Besar dan Guru”.
Di
samping itu, guru yang bertindak ganas juga boleh didakwa. Menurut Presiden Persatuan Penguam
Muslim, Zaitoon Datuk Othman, terdapat beberapa peruntukan undang-undang Kanun
Keseksaan telah menyedia dan menetapkan prosedur dan tindakan terhadap mereka
yang mencederakan. Bagaimanapun, jika
murid berkenaan mengalami kecederaan yang teruk akibat dipukul oleh guru
berkenaan, maka ibu bapa dinasihatkan membawa anaknya berjumpa dengan doktor di
hospital kerajaan untuk tujuan rawatan dan laporan kesihatan. Ini harus
disusuli dengan laporan polis. Dalam konteks tindakan undang-undang, ibu bapa boleh mengambil tindakan prosedur
undang-undang jenayah ataupun sivil di bawah Undang-undang Tort. Di bawah
prosedur Undang-undang Tort, tindakan yang dibawa oleh ibu bapa sebagai
plaintif boleh menuntut pampasan bagi pihak anaknya daripada guru yang memukul
di mahkamah sivil.
Pihak pentadbir sekolah haruslah memainkan
peranan mereka dan membantu guru-guru agar dapat menumpuh cabaran dalam
mendidik dan mendisiplinkan pelajar. Mereka hendaklah memastikan bahawa pada
peringkat awal, guru-guru baru dan tidak berpengalaman tidak dibebani dengan
tugas dan tanggungjawab yang besar dalam mendidik dan mendisiplinkan pelajar
seperti menjadi guru disiplin atau warden.
Kursus pengawalan emosi dan tekanan juga
boleh diadakan untuk membantu guru dalam menjalankan tugas mereka. Kadang kala,
tekanan atau stress menyebabkan guru keterlaluan dalam tindakan mendisiplinkan
pelajar.Adakalanya tekanan menyebabkan mereka tidak dapat mengawal emosi dan
hilang sabar dalam menghadapi kerenah pelajar-pelajar yang nakal. Dr. Robiah K.
Hamzah, seorang pakar motivasi sendiri mengakui bahawa jalan terbaik menangani
masalah disiplin ialah guru pandai mengawal emosi. Namun , pada masa yang sama,
guru juga perlu menunjukkan ketegasan dalam kelembutan. Justeru, guru harus
diberi pendedahan dan ilmu pengawalan emosi dan tekanan supaya mereka lebih
bersedia andai terpaksa berdepan dengan perlakuan melampau batas
pelajar-pelajar. Kursus pengawalan emosi dan tekanan mampu membuka minda para
guru. Sudah pastinya emosi yang stabil dan fikiran yang tenang membolehkan guru
mendidik dan mendisiplin pelajar dengan cara lebih berkesan.
Kursus jangka pendek tentang kaedah dan cara
mendisiplinkan pelajar oleh guru-guru yang berpengalaman terutamanya guru-guru
disiplin wajar juga harus diadakan. Biarpun para guru terutamanya guru baru
telah didedahkan dengan teori-teori psikologi kanak-kanak dan remaja sewaktu
menjalani latihan perguruan namun situasi yang berlaku di sekolah ada kalanya
di luar jangkaan. Diharapkan agar ilmu mendisiplinkan pelajar dan menangani
pelajar bermasalah hasil daripada pengalaman-pengalaman guru-guru lama dapat
dikongsi bersama-sama terutamanya dengan guru-guru baru.
Pada pendapat saya, guru seharusnya diberi
peluang untuk ‘bernafas’. Cabaran mendidik dan mendisiplinkan pelajar bukanlah
tugas yang mudah. Masyarakat tidak seharusnya hanya menunding jari kepada guru
setiap kali timbul masalah disiplin dalam kalangan pelajar-pelajar.
Sesungguhnya tugas mendidik dan mendisiplin pelajar tidak harus hanya dihadapi
oleh golongan guru dan pentadbir sekolah sahaja. Ibu bapa perlu menaruh
kepercayaan kepada guru-guru tetapi tidak bersikap lepas tangan. Tanggungjawab
mereka memberi kasih sayang dan didikan agama kepada anak-anak mereka harus
dijadikan agenda utama dalam membentuk keluarga yang bahagia. Apabila anak-anak
diasuh dengan baik dan diberi perhatian, usaha guru membudayakan ilmu lebih
mudah dilaksanakan. Tentunya masalah disiplin pelajar tidak timbul malah misi
disiplin sifar akan lebih mudah dicapai.
Berita guru bertindak ganas terhadap
murid sering menjadi bahan berita sensasi pihak media. Jelas sekali gurulah
yang lebih rela memikul tanggungjawab mendisiplin dan menghadapi pelbagai
risiko keganasan pelajar sehingga diri sendiri yang tertekan. Layaknya mereka
disanjung atas kesudian mereka bukan dikutuk sebagai pendera.
Justeru itu, semua pihak termasuk
ibu bapa dan media perlulah bersikap lebih adil dan rasional apabila berdepan
dengan kes guru memukul anak mereka. Tidak ada seorang guru pun yang mahu
memukul muridnya sesuka hati tanpa sebarang sebab. Guru adalah pendidik dan
berpendidikan. Mereka tahu kesan jika mereka bertindak kasar dan ganas terhadap
murid.
Ibu bapa dan masyarakat harus sedar
bahawa tugas guru bukan sekadar memberi ilmu pengetahuan dan mendidik. Lebih
dari itu, mereka bertanggungjawab mendisiplinkan para pelajar, satu proses
pembudayaan yang jarang diterima pelajar sewaktu di rumah. Oleh itu, isu guru
mendera dan bertindak ganas adalah masalah yang perlu diberi perhatian semua
pihak. Seterusnya penyelesaian bersama hendaklah ada terutama di antara guru,
ibubapa, pelajar dan sekolah agar masalah-masalah ini dapat diselesaikan dengan
cara terbaik.
No comments:
Post a Comment